Ahad, 26 Jun 2022 | 9:06pm
Motosikal Yamaha Y16 yang ditunggang Shahril Ismail yang berlanggar dengan motosikal berkuasa tinggi BMW K1600GT. - Foto ihsan Polis
Motosikal Yamaha Y16 yang ditunggang Shahril Ismail yang berlanggar dengan motosikal berkuasa tinggi BMW K1600GT. - Foto ihsan Polis

Pengawal keselamatan maut kemalangan dengan motosikal berkuasa tinggi

DUNGUN: Seorang pengawal keselamatan maut selepas motosikal yang ditungganginya terbabit kemalangan dengan sebuah motosikal berkuasa tinggi di Kilometer 73.5, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Pulau Serai, hari ini.

Dalam nahas kira-kira jam 1 tengah hari, Shahril Ismail, 41, yang bertugas sebagai pengawal Keselamatan di Pejabat Agama Daerah Dungun disahkan meninggal ketika diberi rawatan kecemasan di Hospital Dungun, jam 2.30 petang.

Kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal Yamaha Y16 dari arah Bandar Dungun dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Baru Kuala Abang.

Setiba di tempat kejadian, motosikal mangsa dipercayai bergesel dengan motosikal berkuasa tinggi BMW K1600GT yang datang dari arah bertentangan sebelum kedua-dua mangsa tercampak ke atas jalan.

Motosikal Yamaha Y16 yang ditunggang Shahril Ismail yang berlanggar dengan motosikal berkuasa tinggi BMW K1600GT. - Foto ihsan Polis
Motosikal Yamaha Y16 yang ditunggang Shahril Ismail yang berlanggar dengan motosikal berkuasa tinggi BMW K1600GT. - Foto ihsan Polis

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kemalangan.

Katanya, mangsa dikejarkan ke Hospital Dungun untuk menerima rawatan sebelum disahkan meninggal di bilik kecemasan hospital.

"Penunggang motosikal berkuasa tinggi yang berusia 54 tahun yang bertugas di Jabatan Pengangkutan Jalan JPJ Selangor hanya cedera ringan," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X