Ahad, 26 Jun 2022 | 12:27pm
Motosikal berkuasa tinggi yang ditunggang sepasang suami isteri sebelum terbabas di Bukit Bunga, Tanah Merah, pagi semalam. - Foto ihsan polis
Motosikal berkuasa tinggi yang ditunggang sepasang suami isteri sebelum terbabas di Bukit Bunga, Tanah Merah, pagi semalam. - Foto ihsan polis

Wanita maut motosikal berkuasa tinggi ditunggang suami terbabas

TANAH MERAH: Seorang pembonceng wanita maut apabila motosikal berkuasa tinggi yang ditunggang suaminya, terbabas di Bukit Bunga, di sini, semalam.

Mangsa, Sharipah Saad, 48, yang membonceng motosikal ditunggang suaminya, Asmiran Dahari, 50, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Jeli, dekat sini, kira-kira jam 2.30 petang.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Wan Zulfikri Wan Othman, berkata nahas kira-kira jam 11.30 pagi itu berlaku ketika pasangan yang menunggang motosikal jenis Kawasaki GTR1400 terbabit dipercayai dalam perjalanan dari Pulau Pinang untuk ke Terengganu Bike Week.

"Setiba di lokasi kejadian, dipercayai sebuah kereta yang berada di hadapan motosikal mereka, membrek kerana tiba di lampu isyarat.

"Ia dipercayai menyebabkan penunggang motosikal terbabit mengelak ke kiri lalu terbabas ke bahu kiri jalan sebelum mangsa wanita terjatuh dan mukanya tersembam ke atas jalan.

"Kedua-dua mangsa yang mengalami kecederaan kemudian dibawa ke Hospital Jeli untuk rawatan. Namun, wanita terbabit disahkan meninggal dunia di hospital kira-kira jam 2.30 petang semalam," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, penunggang motosikal itu pula patah tangan dan cedera di bahagian badan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Berita Harian X