Sabtu, 25 Jun 2022 | 6:59pm
Anggota APMM menjalankan Ops Cari Lamat seorang kru sebuah bot nelayan yang dipercayai terjatuh dari bot ketika pulang mencandat sotong di perairan Kuala Terengganu. NSTP/Ihsan APMM
Anggota APMM menjalankan Ops Cari Lamat seorang kru sebuah bot nelayan yang dipercayai terjatuh dari bot ketika pulang mencandat sotong di perairan Kuala Terengganu. NSTP/Ihsan APMM

Nelayan pulang mencandat dikhuatiri lemas terjatuh bot

KUALA TERENGGANU: Seorang nelayan bot pukat jerut dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh dari bot ketika pulang mencandat sotong, pagi tadi.

Kehilangan mangsa, Mohd Farhan Mohd Zaki, 20, dari Bachok, Kelantan disedari rakan nelayan sebaik bot kelas C itu tiba di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Pulau Kambing, di sini, kira-kira jam 6 pagi.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu, Kepten (M) Muhammad Suffi Mohd Ramli, berkata sebelum kejadian mangsa bersama 28 kru dan tekong berada di laut untuk mencandat sotong.

"Bagaimanapun, mangsa dikhuatiri terjatuh dari bot ketika perjalanan pulang ke jeti LKIM, Pulau Kambing.

"Mangsa dipercayai terjatuh pada jarak enam batu nautika dari muara Kuala Terengganu," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Berikutan kejadian itu, katanya, satu Operasi Cari Lamat mangsa digerakkan membabitkan 20 anggota dan sebuah bot peronda.

Terdahulu, dalam kejadian jam 11.30 malam tadi, empat lelaki yang keluar mencandat sotong hampir lemas apabila bot gentian kaca dinaiki mereka karam dibadai ombak.

Kejadian berlaku di muara Sungai Kuala Terengganu ketika empat rakan terbabit dalam perjalanan pulang berikutan cuaca hujan dan ribut.

Bagaimanapun, semua mangsa ditemui selamat selepas hanyut dibawa arus sekitar perairan Chendering.

Kesemua mangsa berusia antara 37 hingga 54 tahun itu dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Berita Harian X