Jumaat, 24 Jun 2022 | 12:11pm

Koperal polis trafik didakwa 6 pertuduhan rasuah RM16,800

MELAKA: Seorang koperal polis trafik dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Ayer Keroh, hari ini, atas enam pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM16,800 antara 2016 hingga 2021 bagi melindungi syarikat lori didakwa melakukan kesalahan membawa muatan berlebihan.

Tertuduh, Mohd Hanif Mohamad, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memperoleh suapan RM2,400 secara pindahan dalam talian daripada pengurus sebuah syarikat melalui akaun Maybank antara 6 Januari hingga 11 Oktober 2016 di Maybank Islamic Berhad Cawangan Ayer Keroh, di sini.

Tertuduh didakwa menerima suapan itu sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas lori-lori syarikat terbabit mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Bagi pertuduhan kedua hingga keenam pula, tertuduh didakwa mengulangi kesalahan sama dengan memperoleh suapan berjumlah RM14,400 daripada syarikat sama pada 14 Januari hingga 12 Disember 2017; 10 Januari hingga 10 Disember 2018; 10 Januari hingga 11 Disember 2019; 15 Januari hingga 15 Disember 2020; dan 11 Januari hingga 15 Februari 2021.

Semua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Irwan Shah Abdul Samat, yang mencadangkan tertuduh diikat jamin RM5,000 bagi semua pertuduhan berserta syarat tambahan melapor diri di Pejabat SPRM setiap bulan dan pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah.

Peguam, Ishak Mohd Kari yang menyebut bagi peguam bela, Azrul Zulkifli Stork, bagaimanapun memaklumkan bahawa tertuduh tidak memiliki pasport, selain memohon ikat jamin rendah kerana tertuduh menanggung anak dan isteri serta ibu dan dua adik yang masih belajar.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin, serta diperintahkan melapor diri setiap bulan di pejabat SPRM hingga perbicaraan selesai.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen pada 22 Ogos depan.

Mohd Hanif mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM16,800 bagi melindungi syarikat lori didakwa melakukan kesalahan membawa muatan berlebihan. - NSTP/Meor Riduwan Meor Ahmad
Mohd Hanif mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM16,800 bagi melindungi syarikat lori didakwa melakukan kesalahan membawa muatan berlebihan. - NSTP/Meor Riduwan Meor Ahmad
Berita Harian X