Khamis, 23 Jun 2022 | 10:21pm
Lelaki ditemukan lemas selepas dipercayai terjatuh dari bot ketika melakukan kerja pemunggahan ikan di jeti sebuah kilang pemprosesan ikan di Kampung Acheh, Sitiawan, petang tadi. - Foto NSTP/IHSAN BOMBA
Lelaki ditemukan lemas selepas dipercayai terjatuh dari bot ketika melakukan kerja pemunggahan ikan di jeti sebuah kilang pemprosesan ikan di Kampung Acheh, Sitiawan, petang tadi. - Foto NSTP/IHSAN BOMBA

Lelaki terjatuh dari bot ditemukan lemas

SITIAWAN: Nelayan ditemukan lemas selepas dipercayai terjatuh dari bot ketika melakukan kerja pemunggahan ikan di jeti sebuah kilang pemprosesan ikan di Kampung Acheh, di sini, petang tadi.

Ahmad Sukri Salleh, 35, ditemui pada kedalaman 4.5 meter oleh orang awam di lokasi sama dia dilaporkan terjatuh.

Ketika kejadian, mangsa bersama beberapa rakan dari Pulau Pangkor datang ke jeti terbabit untuk menghantar ikan ke kilang berkenaan.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan, Khairul Azizi Kamarudin, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 4.57 petang sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi.

Katanya, ketika kejadian, mangsa bersama beberapa rakan sedang memunggah peti ikan dari bot untuk diletakkan di jeti.

"Ketika itu mangsa dikatakan berada di atas bot, manakala rakannya di jeti menerima peti ikan dan mengalihkan ke tempat lain sebelum mereka menyedari mangsa sudah tiada di atas bot.

"Ketika itu enjin bot masih hidup dan (mungkin bunyi enjin menyebabkan) rakan mangsa tidak menyedari lelaki itu terjatuh dari bot," katanya ketika dihubungi, di sini, malam ini.

Katanya, rakannya cuba mencari mangsa namun gagal sebelum menghubungi pihak bomba untuk mendapatkan bantuan.

"Mangsa yang ditemui disahkan meninggal dunia sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada 5.55 petang," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi mengesahkan kejadian.

Berita Harian X