Khamis, 23 Jun 2022 | 4:19pm
Kereta dinaiki mangsa remuk selepas merempuh sebuah lori di Jalan Krubong Tampoi. - Foto NSTP/Ihsan JBPM
Kereta dinaiki mangsa remuk selepas merempuh sebuah lori di Jalan Krubong Tampoi. - Foto NSTP/Ihsan JBPM

Murid tahun satu maut dalam perjalanan ke sekolah

MELAKA: Seorang murid perempuan darjah satu maut manakala nenek dan bapa saudaranya cedera selepas kereta dinaiki mereka hilang kawalan sebelum merempuh lori di Jalan Krubong Tampoi, di sini, pagi tadi.

Dalam nahas jam 8.15 pagi itu, semua mangsa sedang dalam perjalanan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Cheng, di sini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintendan Amran @ Mohamad Zaki Omar, berkata mangsa, Nurul Qalisha Abdul Rahim, 7, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada kepala.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan lanjut daripada rakaman video papan pemuka yang diperoleh, kemalangan berlaku apabila kereta dinaiki ketiga-tiga mangsa dari arah Krubong hilang kawalan lalu berpusing dan masuk ke laluan bertentangan.

Pada masa sama, katanya, sebuah lori Hino dipandu lelaki berusia 70 tahun dari arah Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) ke Krubong gagal menggelak lalu merempuh kenderaan mangsa.

"Akibat pelanggaran, mangsa yang duduk di belakang, parah dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

"Bapa saudara mangsa, Fadzul Illahie Azmi, 29, yang memandu kereta mengalami luka pada kepala manakala neneknya, Norsiah Puteh, 58, yang duduk di kerusi penumpang hadapan, patah tangan," katanya.

Mohamad Zaki berkata, kedua-dua mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Melaka (HM) untuk rawatan manakala mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik HM untuk bedah siasat.

Katanya, pemandu lori tidak cedera dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X