Khamis, 23 Jun 2022 | 12:03pm

Padah beri suapan RM200

IPOH: Lelaki warga Bangladesh didenda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini selepas mengaku bersalah memberi suapan RM200 kepada anggota polis bagi mengelakkan tindakan saman ke atasnya, pada Februari lalu.

Hakim M Bakri Abd Majid menjatuhi hukuman itu terhadap tertuduh, Sirajul Nojrulislam, 42, pekerja kilang, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan yang dibacakan.

Berdasarkan pertuduhan pilihan itu yang dibaca dalam bahasa Hindi, tertuduh didakwa memberi suapan wang tunai RM200 kepada seorang anggota polis berpangkat koperal iaitu pegawai badan awam, Polis DiRaja Malaysia.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira jam 5.20 petang, 17 Februari lalu di Jalan Batu 10 Segari, dalam daerah Manjung.

Suapan itu adalah sebagai satu balasan supaya saman tidak dikeluarkan terhadap tertuduh atas kesalahan tidak memakai topi keledar ketika tertuduh menunggang motosikal yang menjadi satu kesalahan di bawah kaedah-kaedah Motosikal (Topi Keledar) 1973.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sebelumnya, tertuduh didakwa dengan pertuduhan mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 atas dakwaan secara rasuah memberi suapan namun butiran lanjut pertuduhan adalah sama seperti pertuduhan pilihan yang dibacakan.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Maziyah Mansor manakala tiada peguam mewakili tertuduh.

M Bakri menjatuhkan hukuman denda RM3,000 kepada tertuduh atau sebulan penjara jika gagal membayar denda yang dikenakan.

Mahkamah turut memerintahkan wang rasuah berjumlah RM200 bagi kes ini dilucuthakkan kepada Kerajaan Malaysia mengikut Seksyen 40(1)(a) Akta SPRM 2009.

Warga Bangladesh, Sirajul Nojrulislam mengaku bersalah memberi suapan RM200 kepada anggota polis. - Foto NSTP/L Manimaran
Warga Bangladesh, Sirajul Nojrulislam mengaku bersalah memberi suapan RM200 kepada anggota polis. - Foto NSTP/L Manimaran
Berita Harian X