Isnin, 20 Jun 2022 | 9:13pm
Tangkap layar perbuatan seorang lelaki yang mengumpan kucing dengan makanan sebelum membaling batu dan menendang haiwan itu di hadapan sebuah kedai di Semeling, semalam. NSTP/FOTO TULAR
Tangkap layar perbuatan seorang lelaki yang mengumpan kucing dengan makanan sebelum membaling batu dan menendang haiwan itu di hadapan sebuah kedai di Semeling, semalam. NSTP/FOTO TULAR

Lelaki seksa kucing direman esok

SUNGAI PETANI: Polis menahan seorang lelaki kerana disyaki menyeksa dan menendang kucing di hadapan sebuah kedai di Semeling, dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan, berkata suspek berusia 20-an itu akan direman di mahkamah esok.

Beliau berkata, pemeriksaan di rumah suspek turut menemui bangkai kucing namun ia didapati bukan haiwan diseksa suspek seperti tular di media sosial sebelum ini.

"Siasatan mendapati kucing yang diseksa suspek dalam video yang tular sebelum ini sudah diambil Jabatan Veterinar," katanya ketika dihubungi.

Dalam rakaman video yang tular hari ini kelihatan seorang lelaki yang memandu Perodua Bezza putih melakukan kekejaman terhadap dua ekor kucing di hadapan sebuah kedai.

Perbuatan kejamnya yang menendang dan membaling batu terhadap haiwan itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV).

Rakaman CCTV itu kemudian dimuat naik seorang pemilik akaun Facebook (FB) sehingga ia mengundang kecaman pelbagai pihak terhadap perbuatan kejam lelaki terbabit.

Dalam rakaman CCTV berdurasi kira-kira tiga minit itu, lelaki berkenaan dilihat memberhentikan keretanya di hadapan sebuah kedai.

Dia kemudian dilihat mengumpan seekor kucing dengan memberikan makanan sebelum membaling batu dengan sengaja sehingga haiwan terbabit menggelupur kesakitan.

Satu lagi rakaman video menunjukkan lelaki berpakaian serba hitam itu mengumpan makanan kepada dua kucing sebelum dia menendang seekor daripada haiwan terbabit tanpa belas kasihan.

Berita Harian X