IPOH: Polis menahan seorang wanita warga asing kerana disyaki mencuri barang kemas majikannya, yang dianggarkan bernilai RM15,000.
Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Yahaya Hassan, berkata suspek berusia 35 tahun itu, ditahan kira-kira 1.50 petang semalam di sebuah rumah di Pasir Puteh, di sini.
Katanya, penahanan itu dibuat susulan laporan polis diterima daripada seorang wanita pada 3 petang Sabtu lalu, apabila mengesyaki barang kemas miliknya dicuri oleh suspek yang menjalankan kerja pembersihan di rumahnya, di Taman Rapat Setia Baru di sini.
"Dalam tempoh kurang daripada 24 jam selepas laporan polis diterima, polis berjaya menahan suspek yang baharu sahaja bekerja di rumah mangsa sejak sebulan lalu, dengan melakukan kerja pembersihan sebanyak tiga kali seminggu.
"Polis turut merampas pelbagai barang kes disyaki milik mangsa bernilai kira-kira RM13,000 dan resit-resit pajak gadai," katanya dalam kenyataan hari ini.
Yahaya berkata, suspek direman selama empat hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.
Beliau berkata, maklumat mengenai perlakuan jenayah boleh disalurkan kepada Ibu Pejabat Polis Ipoh yang beroperasi 24 jam di talian 05-2542222.