Isnin, 20 Jun 2022 | 2:17pm

Polis rampas dadah bernilai RM153,900 dalam tiga serbuan

KOTA BHARU: Polis Kelantan merampas dadah bernilai RM153,900 dalam tiga serbuan berasingan yang dilakukan sempena Op Tapis Bersepadu.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata serbuan itu dilakukan di Kota Bharu, Tanah Merah dan Gua Musang, bermula 16 hingga 18 Jun lalu.

Beliau berkata, dalam serbuan di pekarangan parkir Stadium Sultan Muhammad ke-IV di sini, pada malam Khamis lalu, dua lelaki dipercayai tokan dadah ditahan.

"Kedua-dua lelaki berusia 22 dan 26 tahun itu adalah penganggur dan disyaki sedang menunggu pelanggan di dalam kereta.

"Pemeriksaan di bahagian belakang kereta menjumpai dua bungkusan guni mengandungi 30 bungkus berwarna keemasan berisi tumbuhan kering mampat disyaki ganja seberat 30.775 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM75,000," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini, hari ini.

Muhamad Zaki berkata, seorang daripada suspek positif dadah methampethamine dan memiliki dua rekod lampau bersabit dadah.

Serbuan kedua pula dilakukan di sebuah rumah di Kampung Manal, Tanah Merah, pada awal pagi Jumaat lalu yang menjumpai dua bungkusan mengandungi 3,200 biji pil kuda ditanam di dalam tanah.

Beliau berkata, seorang buruh berusia 28 tahun ditahan dan ujian saringan mendapati lelaki itu positif methampethamine.

"Nilai keseluruhan pil kuda yang dirampas dianggarkan RM32,000 dan sebuah kereta Proton Wira turut disita," katanya.

Serbuan terakhir dilakukan di sebuah bangsal di Kampung Lambok, Kuala Betis, Gua Musang, pada jam 6 pagi Jumaat lalu, sebelum menahan dua individu termasuk wanita berusia 38 tahun.

Muhamad Zaki berkata, di atas lantai bangsal itu, dijumpai 4,450 biji pil kuda dan 24 gram syabu dengan anggaran nilai RM46,900.

"Kami juga menyita dua motosikal, sepasang anting-anting, sebentuk cincin dan wang tunai berjumlah RM1,100.

"Suspek lelaki berusia 40 tahun positif methampethamine dan mempunyai dua rekod lampau bersabit dadah.

"Semua suspek untuk ketiga-tiga kes ditahan reman seminggu bermula 17 hingga 23 Jun dan kes disiasat mengikut 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun (tengah) menunjukkan rampasan dadah yang dianggarkan bernilai RM153,900 dalam tiga serbuan berasingan sempena Op Tapis Bersepadu. - NSTP/Siti Rohana Idris
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun (tengah) menunjukkan rampasan dadah yang dianggarkan bernilai RM153,900 dalam tiga serbuan berasingan sempena Op Tapis Bersepadu. - NSTP/Siti Rohana Idris
Berita Harian X