Isnin, 20 Jun 2022 | 8:49am
Mayat nelayan 56 tahun yang ditemukan lemas ketika menangkap ikan di perairan Pulau Jerejak, di sini. - Foto Maritim Malaysia
Mayat nelayan 56 tahun yang ditemukan lemas ketika menangkap ikan di perairan Pulau Jerejak, di sini. - Foto Maritim Malaysia

Nelayan terjatuh bot ditemukan lemas

GEORGETOWN: Nelayan ditemukan lemas selepas terjatuh daripada bot ketika menangkap ikan di perairan Pulau Jerejak, di sini, semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, dalam kejadian jam 3.15 petang, mangsa berusia 56 tahun dikatakan menangkap ikan bersama rakannya sebelum terjatuh dan kakinya terbelit pada pukat.

Katanya, sebaik menerima maklumat daripada Sub-Pusat Menyelamat Maritim (MRSC) Langkawi, pasukannya diatur gerak ke tempat kejadian bagi melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (Carilamat).

"Ketika tiba di lokasi, anggota pasukan menemukan mangsa dalam keadaan terapung di permukaan air berhampiran bot yang dinaiki bersama rakannya dan dipercayai sudah meninggal dunia.

"Rakan mangsa yang berada di situ mendakwa, lelaki terbabit terjatuh ke dalam laut selepas kakinya terbelit pada pukat," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Abd Razak berkata, mayat mangsa kemudian dibawa menaiki bot ke Jeti Pasukan Polis Marin Batu Uban.

"Mayat mangsa diserah kepada polis sebelum dihantar ke Hospital Seberang Jaya bagi tindakan lanjut," katanya.

Berita Harian X