Jumaat, 17 Jun 2022 | 1:58pm
Sebuah kilang memproses sisa ayam sebagai baja pertanian di Bagan Tengkorak, diarahkan tutup serta-merta pada Selasa lalu. - Foto ihsan MPKS
Sebuah kilang memproses sisa ayam sebagai baja pertanian di Bagan Tengkorak, diarahkan tutup serta-merta pada Selasa lalu. - Foto ihsan MPKS

Kilang proses sisa ayam jadi baja diarah tutup serta-merta

TANJONG KARANG: Sebuah kilang memproses sisa ayam sebagai baja pertanian di Bagan Tengkorak, di sini, diarahkan tutup serta-merta pada Selasa lalu.

Kilang berkenaan diserbu dalam satu operasi bersepadu membabitkan 15 anggota Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan polis, kira-kira jam 10.30 pagi.

Ia berikutan aduan penduduk sekitar Bagan Tengkorak kerana terganggu dengan pencemaran bau busuk didakwa daripada kilang terbabit yang dikatakan beroperasi sejak tujuh bulan lalu.

Pengarah Jabatan Penguat Kuasa MPKS, Mohamad Lutfi Mislahhudin, berkata hasil pemeriksaan dalam serbuan itu mendapati kilang terbabit beroperasi di lokasi yang terlindung dengan aktiviti pertanian.

Beliau berkata, pengusahanya juga didakwa gagal menyediakan persekitaran bersih sehingga kilang itu mengeluarkan bau busuk.

"Kilang itu diarahkan tutup serta-merta dan dikenakan kompaun atas kesalahan tidak memiliki lesen aktiviti mengilang serta kacau ganggu bau busuk," katanya kepada BH, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya turut menyita dua unit jentera angkat susun (forklift) dan satu unit pemampat udara di kawasan kilang berkenaan.

"Siasatan dijalankan mengikut UUK 3 Undang-undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (Majlis Daerah Kuala Selangor) 2007 kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen daripada pihak berkuasa," katanya.

Berita Harian X