Jumaat, 17 Jun 2022 | 12:19pm

Amuk di lebuh raya: Lelaki mengaku bersalah 3 pertuduhan

KUALA KANGSAR: Seorang lelaki yang dilaporkan mengamuk di Kilometer (KM) 253 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) pada Ahad lalu, mengaku bersalah atas tiga pertuduhan di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.

Zainordin Mohamed, 36, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Rohaida Ishak, bagi pertuduhan melakukan khianat, memasukkan dadah ke dalam badan, dan memberhentikan kereta dipandunya di kedudukan yang mungkin menyebabkan galangan tidak berpatutan kepada pengguna jalan raya yang lain.

Menurut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan khianat dengan menendang cermin sisi sebelah kanan sebuah kereta milik seorang individu berumur 45 tahun sehingga mengakibatkan kerugian RM200.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara satu hingga lima tahun atau denda atau kedua-keduanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memasukkan dadah berbahaya jenis THC ke dalam badan sendiri, mengikut Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak lebih dua tahun atau denda tidak lebih RM5,000 serta dikenakan perintah pengawasan antara dua hingga tiga tahun.

Mengikut pertuduhan ketiga pula, tertuduh didakwa sebagai pemandu sebuah kereta jenis Toyota Vios telah menyebabkan kenderaan itu dihentikan di lorong kanan jalan dalam kedudukan yang mungkin menyebabkan galangan tidak berpatutan kepada pengguna jalan raya yang lain.

Dia didakwa mengikut Seksyen 48(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun atau denda antara RM1,000 hingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan melakukan khianat dan menyebabkan galangan tidak berpatutan kepada pengguna jalan raya, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di KM253 PLUS arah selatan, di sini, jam 6.09 petang 12 Jun lalu.

Untuk pertuduhan memasukkan dadah ke badan pula, dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar, di sini, kira-kira jam 3.40 petang 14 Jun lalu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Asmaniza Mohammad, manakala tertuduh tiada diwakili peguam.

Nur Asmaniza turut memohon supaya tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia Tanjung Rambutan di Ulu Kinta, Ipoh, mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah untuk pemerhatian. Ia berikutan pemerhatian mendapati tertuduh berkelakuan tidak waras sepanjang tempoh bawah tahanan reman.

Hakim kemudian membenarkan permohonan Nur Asmaniza, selain menetapkan 14 Julai depan untuk sebutan semula kes bagi semua pertuduhan, dan sementara menunggu laporan patologi tertuduh berkaitan kes dadah.

Terdahulu, tertuduh tiba di pekarangan mahkamah dengan menaiki van polis kira-kira jam 8.50 pagi, dan dilihat sentiasa menunjukkan isyarat menadah tangan seperti berdoa kepada pemberita ketika hendak dibawa memasuki bilik perbicaraan.

Ketika dibawa keluar dari bilik perbicaraan pula, tertuduh turut dilihat menunjukkan beberapa isyarat dianggap janggal, selain seolah-olah menyanyi.

Zainordin mengaku bersalah atas tiga pertuduhan di Mahkamah Sesyen di Kuala Kangsar, hari ini. - NSTP/L Manimaran
Zainordin mengaku bersalah atas tiga pertuduhan di Mahkamah Sesyen di Kuala Kangsar, hari ini. - NSTP/L Manimaran
Berita Harian X