Jumaat, 17 Jun 2022 | 10:42am
Sebanyak 130 bungkusan plastik hitam yang mengandungi 1.3 tan daun ketum yang cuba diseludup ke negara jiran dirampas Maritim Malaysia Zon Kuala Kedah semalam
Sebanyak 130 bungkusan plastik hitam yang mengandungi 1.3 tan daun ketum yang cuba diseludup ke negara jiran dirampas Maritim Malaysia Zon Kuala Kedah semalam

Tiga ditahan seludup daun ketum guna bot nelayan

ALOR SETAR: Tiga lelaki ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) ketika cuba menyeludup 1.3 tan daun ketum ke negara jiran dengan menggunakan bot nelayan tempatan di perairan Kuala Kedah semalam.

Kesemua mereka yang berusia 33 hingga 39 tahun itu ditahan jam 2.30 pagi pada kedudukan satu batu nautika di barat muara Kuala Kedah di sini.

Pengarah Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak, berkata tangkapan itu berdasarkan maklumat dan risikan berkaitan sebuah bot nelayan tempatan Kelas A yang disyaki menjalankan aktiviti penyeludupan sedang bergerak menuju keluar dari muara Kuala Kedah.

Beliau berkata, berikutan itu, bot ronda Maritim Malaysia digerakkan ke lokasi untuk melakukan serbuan dan bot terbabit berjaya dikesan pada jam 2.20 pagi sedang bergerak dalam keadaan gelap.

"Sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, suspek cuba untuk melarikan diri dengan bertindak memecut bot namun berjaya dipintas oleh bot ronda Maritim Malaysia.

"Hasil pemeriksaan, mendapati tiga lelaki warga tempatan berada dalam bot terbabit dan pemeriksaan lanjut menemui 130 bungkusan plastik hitam disyaki daun ketum di atas bot berkenaan dengan berat dianggarkan kira-kira 1.3 tan.

"Siasatan awal mendapati, tiga suspek lelaki warga tempatan itu berasal dari kawasan berdekatan dan dipercayai menerima upah sebanyak RM200 seorang bagi satu perjalanan penghantaran sehingga mereka berani melakukan kegiatan itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Noor Azreyanti berkata, daun ketum terbabit dipercayai cuba untuk diseludup keluar ke negara jiran melalui jalan laut berikutan daun ketum sudah dikeluarkan dari senarai dadah berbahaya di negara jiran.

Katanya, berikutan daun ketum mendapat permintaan serta harga jualan yang lebih tinggi berbanding di dalam negara yang hanya dijual RM30 sekilo.

Menurutnya, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut sama ada tiga lelaki itu adalah nelayan atau sebaliknya.

"Tiga suspek ditahan dan kesemua bungkusan plastik hitam disyaki daun ketum yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM234,000 manakala sebuah bot nelayan tempatan Kelas A berserta enjin dianggarkan bernilai RM70,000 itu dirampas dan dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut.

"Kes akan disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut. Jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih daripada RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya," katanya.

Noor Azreyanti berkata, kes ini adalah tangkapan kedua membabitkan warga tempatan dan rampasan keenam bagi Zon Maritim Kuala Kedah setakat ini.

Beliau berkata, walaupun sudah banyak rampasan dilakukan sebelum ini, namun aktiviti ini dilihat terus aktif dilakukan oleh penyeludup bagi mengambil jalan mudah untuk menjana pendapatan lumayan yang mencecah ribuan ringgit.

"Maritim Malaysia memandang serius akan jenayah ini akan terus memperhebatkan operasi dan pemantauan di sempadan serta perairan negara dari semasa ke semasa bagi membendung aktiviti penyeludupan, pencerobohan dan jenayah maritim yang berlaku di perairan Utara Semenanjung Malaysia.

"Selain itu, pihak Maritim Malaysia, Zon Maritim Kuala Kedah mengalu-alukan aduan mengenai sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut dan boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579," katanya.

Berita Harian X