Khamis, 16 Jun 2022 | 1:09pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Dipenjara 6 tahun lakukan amang seksual terhadap remaja

SEREMBAN: Seorang pembantu jualan kedai serbaneka dihukum penjara enam tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas dua tuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan, dua tahun lalu.

Shukri Md Yasin, 36, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Datin Surita Budin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas mangsa yang pada waktu itu berusia 13 tahun.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Bandar Tinggi Kuala Klawang, Jelebu, pada jam 2 pagi 19 Jun 2020 dan jam 3 pagi 20 Jun 2020.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Norshazwani Ishak, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, tertuduh dalam rayuannya memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara serentak bermula dari tarikh ditangkap dan mengaku sudah insaf atas perbuatan itu.

Mahkamah kemudian menetapkan hukuman penjara enam tahun dan tiga sebatan bagi setiap pertuduhan, bagaimanapun hukuman diarahkan berjalan serentak dari tarikh tertuduh ditangkap pada 20 Jun 2020.

Berita Harian X