KUALA LUMPUR: Nilai rampasan dadah menerusi penguatkuasaan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Kontinjen dan Daerah di seluruh negara mencecah jutaan ringgit setiap minggu.
Nilai sitaan harta yang dimiliki oleh sindiket pengedaran, penyeludupan dan pemprosesan dadah yang ada di seluruh negara pula mencecah ratusan juta untuk setiap tahun.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata adalah tidak adil untuk menyatakan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melindungi dan bersekongkol dengan sindiket dan kartel dadah sama ada di peringkat antarabangsa dan tempatan.
"Semasa kepimpinan saya sebelum ini (Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik), saya tidak melihat ada 'panglima-panglima perang' (pegawai JSJN) di bawah pentadbiran saya bersekongkol dengan sindiket dadah.
"Malah mereka memberikan komitmen tinggi dalam menjalankan tugas membanteras elemen penyeludupan, pemprosesan dan pengedaran dadah oleh sindiket dan kartel yang ada," katanya ketika dihubungi BH.
Beliau mengulas mengenai dakwaan oleh Edisi Siasat menerusi aplikasi Telegram yang memetik Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, kononnya menyatakan dirinya sedang berperang seorang diri dengan sindiket dadah disebabkan ramai pegawai narkotik dan PDRM terbabit dengan sindiket berkenaan.
Ayob Khan juga turut membuat penafian mengenai dakwaan oleh Edisi Siasat itu.
Razarudin bagaimapaun tidak menafikan kemungkinan ada segelintir kecil yang terbabit dengan kumpulan pengedaran dadah ini demi kepentingan peribadi namun pihaknya cuba memperbaiki masalah berkenaan menerusi Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS).
"Prinsip saya dalam keluarga besar saya ini (keluarga PDRM) saya sebagai bapa, kalau anak saya berkudis, saya akan memastikan doktor merawat anak saya sehingga sembuh dan saya tidak akan ceritakan kepada jiran saya (orang luar) kerana khuatir dari cerita sakit berkudis tadi tiba-tiba timbul pula cerita menjadi sakit kusta.
"Apa yang penting adalah merawat anak saya sehingga sembuh, dan saya yakin itulah perkara yang paling wajar dilaksanakan," katanya.
Beliau juga berkata, semasa menjadi Pengarah JSJN beliau juga sering mengambil kesempatan turun ke mana-mana Ibu Pejabat Polie Kontinjen (IPK) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) sebagai menghargai usaha keras pegawai dan anggota JSJN yang berjaya melaksanakan misi membanteras sindiket dadah.
"Langkah ini juga boleh memotivasikan setiap pegawai dan anggota bawahan bahawa tugas yang mereka laksanakan sememangnya mendapat perhatian dan sangat dikagumi serta dihargai oleh peringkat Bukit Aman.
"Sama ada dalam JSJN mahupun PDRM keseluruhannya tiada mana-mana pegawai atau anggota menjalankan tugas seorang diri, kerana kami sentiasa bergerak sebagai satu pasukan dan saling melengkapi antara satu sama lain," katanya.
Mengulas mengenai dakwaan bahawa Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, bekerjasama dengan sindiket tertentu, Razarudin berkata bahawa orang nombor satu dalam PDRM itu tidak pernah menolak sebarang perancangan demi membanteras sindiket dadah malah memberikan sokongan penuh demi keamanan negara.