IPOH: Kira-kira 120 kenderaan hangus dalam kebakaran di sebuah pusat penyimpanan kereta terpakai di Jalan Bendahara di Kampung Temiang di sini pagi tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, berkata pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh menerima panggilan berhubung kejadian itu jam 10.30 pagi sebelum sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian.
"Kebakaran membabitkan tempat penyimpanan kereta potong membabitkan 120 kereta terbakar dengan anggaran kemusnahan 80 peratus.
"Bagaimanapun tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian itu," katanya dalam kenyataan hari ini.
JBPM memaklumkan, operasi pemadaman dibantu Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh, BBP Kuala Kangsar dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Pekan Baru, Pasir Pinji serta Menglembu.
"Setiba di lokasi komander operasi mengarahkan anggota membuat pemadaman menggunakan dua aliran 200 kaki.
"Selain itu tiga pancutan air tangki jentera dan sumber air pili bomba turut digunakan sehingga api padam sepenuhnya," katanya
Keseluruhan operasi tamat sepenuhnya jam 1.34 petang.