Isnin, 13 Jun 2022 | 7:22pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Curi barang kemas ibu, wanita dipenjara empat bulan

KUALA LUMPUR: Akibat mencuri barang kemas milik ibunya bernilai RM14,000, seorang wanita dihukum penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Aina Azahra Arifin menjatuhkan hukuman itu ke atas Bathma Abdullah, 36, yang mengaku bersalah mencuri sepasang loket emas, tiga rantai leher emas, tiga cincin emas, dua loket batu emas dan seutas rantai tangan emas milik ibunya, R Devi Segar, 57.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Bandar Manjalara, Kepong pada 10 pagi, 13 Mac lepas, mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau boleh dikenakan denda atau kedua-duanya.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula hari ini.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nidzuwan Abd Latip memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh memandangkan kesalahan itu serius, namun Bathma yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia tidak bekerja. – BERNAMA

Berita Harian X