Isnin, 13 Jun 2022 | 6:37pm
Seramai 23 Pati warga Myanmar ditahan di Batu 11, Jalan Jeli-Tanah Merah, ketika dalam perjalanan ingin ke Kuala Lumpur untuk bekerja.- Foto NSTP/Ihsan Polis
Seramai 23 Pati warga Myanmar ditahan di Batu 11, Jalan Jeli-Tanah Merah, ketika dalam perjalanan ingin ke Kuala Lumpur untuk bekerja.- Foto NSTP/Ihsan Polis

Bawa 23 PATI, upah RM300 setiap seorang

TANAH MERAH: Seorang lelaki yang memiliki 19 rekod lampau atas kesalahan jenayah dan dadah ditahan pihak berkuasa kerana membawa 23 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar.

Lelaki warga tempatan berusia 57 tahun itu ditahan di Batu 11, Jalan Jeli-Tanah Merah, pada jam 9.30 malam tadi sebaik pihak berkuasa ternampak kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire yang dipandunya dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Wan Zulfikri Wan Othman, berkata sebaik ternampak kenderaan itu di Bukit Bunga, anggotanya yang sedang melakukan tugas rondaan bertindak mengekori dengan menyalakan lampu serta membunyikan siren.

"Pemandunya enggan memberhentikan kenderaan lalu memecut laju dan anggota kami mengejarnya sejauh 18 kilometer dari Bukit Bunga ke kawasan Batu 11, Jalan Jeli-Tanah Merah.

"Ketika ditahan, suspek cuba melarikan diri namun berjaya ditangkap dalam kawasan semak berhampiran.

"Pemeriksaan lanjut di bahagian penumpang belakang kenderaan mendapati 18 lelaki serta lima wanita warga Myanmar dan didapati kesemua mereka tiada sebarang dokumen perjalanan yang sah memasuki negara ini," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Wan Zulfikri berkata, hasil soal siasat awal terhadap suspek, lelaki itu mengaku menerima upah daripada seorang lelaki bernama Ngoh untuk menghantar semua PATI itu daripada Bukit Bunga ke Kuala Lumpur untuk bekerja.

Katanya, suspek yang positif dadah jenis methampethamine itu menerima upah sebanyak RM300 bagi setiap seorang migran yang dibawa.

"Suspek dan semua PATI yang berusia antara 19 hingga 44 tahun termasuk rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah untuk tindakan lanjut.

"Suspek ditahan mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 manakala PATI pula di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/69," katanya.

Berita Harian X