Sabtu, 11 Jun 2022 | 8:36pm
Dua remaja lelaki berusia 15 dan 18 tahun ditahan polis dalam Op Samseng Jalanan kerana menunggang motosikal secara berbahaya di Kampung Takang, Binjai di sini. - Foto ihsan polis
Dua remaja lelaki berusia 15 dan 18 tahun ditahan polis dalam Op Samseng Jalanan kerana menunggang motosikal secara berbahaya di Kampung Takang, Binjai di sini. - Foto ihsan polis

Padah berlumba polis 'jemput' 2 remaja di rumah

KOTA BHARU: Aksi berbahaya dipamerkan dua remaja sambil bersaing antara satu sama lain ketika menunggang motosikal mengundang padah apabila mereka 'dijemput' anggota polis di rumah.

Kedua-dua remaja lelaki berusia 15 dan 18 tahun itu tidak menyedari anggota polis yang sedang melakukan penugasan mengekori sehingga ke rumah seorang daripada suspek di Kampung Takang, Binjai di sini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kelantan, Superintendan Shuhaimi Jusoh, berkata kedua-dua remaja terbabit ditahan jam 5 petang semalam dalam Op Samseng Jalanan.

"Ketika ditanya alasan menunggang motosikal secara berbahaya, mereka memberitahu mahu tunjuk hebat kepada kelompok rakan lain yang menonton aksi mereka.

"Kedua-dua remaja itu kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu untuk tindakan lanjut dan ujian saringan mendapati keduanya negatif dadah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya ketika dihubungi hari ini.

Shuhaimi berkata, dalam operasi yang berakhir tengah malam tadi itu sebanyak 36 saman dikeluarkan dengan pemeriksaan terhadap 16 motosikal.

"Sejumlah 41 kesalahan direkodkan dengan kesalahan gagal pamer lesen kenderaan motor (LKM) paling banyak dikeluarkan iaitu 10 saman diikuti menunggang motosikal bawah umur sebanyak tujuh saman.

"Operasi dijalankan hasil maklumat orang ramai mengenai aktiviti perlumbaan di kawasan berkenaan dan kita menasihatkan ibu bapa mengambil berat kegiatan anak mereka," katanya.

Berita Harian X