Sabtu, 11 Jun 2022 | 5:53pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Dibunuh kerana kaki botol

SHAH ALAM: Dua individu ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kes bunuh seorang lelaki di Seksyen 25 dekat sini, tengah malam semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, berkata dua suspek berkenaan membabitkan isteri dan adik mangsa.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek berang kerana mangsa dikatakan sering mabuk.

"Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam itu, mangsa yang berusia 42 tahun mati di tempat kejadian dengan lima tetakan di belakang kepala, satu kesan lebam di badan, koyakan di bibir dan bengkak di pipi disyaki akibat dipukul senjata tumpul.

"Difahamkan, wanita itu turut memukul suaminya yang mabuk hingga mangsa rebah.

"Kedua-dua suspek iaitu wanita berusia 40 tahun dan lelaki berusia 29 tahun ditahan jam 3 petang semalam," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai sulit, sebaliknya bersubahat kerana marah dengan sikap mangsa.

Katanya, pasangan suami isteri itu sudah 18 tahun berkahwin dan mempunyai tiga anak berusia antara empat hingga 16 tahun.

Suspek lelaki yang juga penuntut sebuah kolej swasta tinggal di rumah abangnya itu sejak enam bulan lalu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan suspek direman enam hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut.

"Sebarang maklumat berkaitan kes ini, boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat kes, Asisten Superintendan S V Kumar di talian 012-8377756," katanya.

Berita Harian X