Sabtu, 11 Jun 2022 | 8:33am

Pasar Keramat terbakar lagi

KUALA LUMPUR: Pasar Keramat di Kampung Dato Keramat, di sini, terbakar lagi, awal pagi tadi, selepas kejadian sama berlaku di kawasan berkenaan pada Mac tahun lalu.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 1.30 pagi tadi.

"Seramai 47 anggota bersama 14 jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keramat, BBP Jalan Hang Tuah, BBP Wangsa Maju, BBP Jalan Tun Razak dan BBP Setapak dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba, kami mendapati terdapat kebakaran lot kedai di pasar berkenaan dengan keadaan api sangat marak," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, kemusnahan akibat kebakaran di pasar berkenaan dianggarkan kira-kira 50 peratus.

"Kebakaran itu turut membabitkan sebahagian rumah berhampiran yang dianggarkan musnah kira-kira 10 peratus.

Anggota bomba sedang memadamkan kebakaran yang berlaku di Pasar Keramat di Kampung Datuk Keramat awal pagi tadi.- Foto ihsan pembaca
Anggota bomba sedang memadamkan kebakaran yang berlaku di Pasar Keramat di Kampung Datuk Keramat awal pagi tadi.- Foto ihsan pembaca

"Kebakaran itu marak dengan cepat disebabkan bahan binaan kedai berkenaan yang terdiri daripada kayu," katanya.

Menurutnya, anggota bomba pantas membuat pemadaman menggunakan kaedah pemadaman secara 'offensive firefigthing' apabila memasuki premis.

"Selain itu, anggota bomba bertugas turut melakukan 'defensive firefighting' pemadaman dari luar bangunan bagi mengelakkan kemusnahan yang lebih besar.

"Kebakaran itu berjaya dikawal jam 2.11 pagi dan tiada mangsa yang dilaporkan cedera dalam kejadian berkenaan. Punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan lebih 40 kedai di Pasar Keramat terbakar pada 17 Mac tahun lalu.

Bagaimanapun, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Nordin Pauzi memaklumkan pihaknya tidak menemui sebarang faktor yang boleh membawa kepada perbuatan sabotaj seperti yang didakwa segelintir pihak di media sosial dalam insiden berkenaan.

Pasar Dato Keramat terbakar dalam kejadian kali kedua di ibu negara, awal pagi ini.
Pasar Dato Keramat terbakar dalam kejadian kali kedua di ibu negara, awal pagi ini.
Berita Harian X