MELAKA: Seorang kontraktor maut selepas kereta dipandunya dirempuh sebuah lori di Jalan Persisir Pantai Klebang-Limbongan, di sini, petang tadi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintendan Amran@Mohamad Zaki Omar, berkata mangsa Haliman Tukimon, 53, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu.
Katanya, siasatan awal mendapati lori Hino berkenaan dalam perjalanan dari Bulatan Klebang menghala lampu isyarat Encore, manakala kereta Proton Wira dipandu mangsa dari arah Jalan Limbongan Lama ke Jalan Persisir Pantai.
"Sejurus lori itu tiba di lampu isyarat Jalan Persisir Pantai, secara tiba-tiba kereta mangsa keluar dari persimpangan dan membelok ke kanan arah Jalan Klebang hingga berlaku perlanggaran.
"Mangsa tersepit di tempat duduk pemandu dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Bagaimanapun pemandu lori berusia 57 tahun itu tidak cedera," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.