Jumaat, 10 Jun 2022 | 10:52am
Warga Myanmar berhimpit di dalam sebuah kenderaan pelbagai guna di Pasir Mas, malam tadi. - Foto PGA
Warga Myanmar berhimpit di dalam sebuah kenderaan pelbagai guna di Pasir Mas, malam tadi. - Foto PGA

Warga Myanmar seberang Sungai Golok

PASIR MAS: Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan dua tekong dan 20 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar di dalam sebuah kenderaan pelbagai guna di Kampung Tasek Berangan, di sini jam 12.30 malam tadi.

Pegawai Pemerintah Medan Ops Wawasan Kelantan, Deputi Superintendan K Ramesh, berkata anggota Batalion 7 PGA yang meronda, terserempak kenderaan terbabit di Kampung Pok Jak.

Katanya, anggota mengekori kereta itu sebelum seorang penumpang warga tempatan keluar melarikan diri tetapi berjaya ditahan.

"Terdapat 20 penumpang disyaki warga Myanmar, terdiri daripada 14 lelaki dan enam wanita berusia 17 sehingga 35 tahun.

"Dua lelaki warga tempatan berusia 25 dan 40 tahun turut ditahan.

"Tekong menggunakan kenderaan mewah dengan cermin yang gelap supaya kegiatan mereka ini dikesan," katanya hari ini.

Ramesh berkata, semua warga Myanmar berkenaan tidak mempunyai passport atau kad perjalanan yang sah, dan mengakui memasuki sempadan negara melalui pangkalan haram.

Katanya, PATI itu dibawa masuk melalui jalan sungai sebelum ditempatkan sementara dekat Sungai Golok dan akan dibawa Kuala Lumpur bagi tujuan bekerja.

Berita Harian X