Khamis, 9 Jun 2022 | 10:39pm
Pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak memeriksa kasut berjenama yang dijual di sebuah pusat membeli belah di Jalan Sultan Abdul Jalil. NSTP/Ihsan KPDNHEP Perak
Pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak memeriksa kasut berjenama yang dijual di sebuah pusat membeli belah di Jalan Sultan Abdul Jalil. NSTP/Ihsan KPDNHEP Perak

1,245 kasut wanita, kanak-kanak jenama terkenal tiruan dirampas

IPOH: Sebanyak 1,245 kasut wanita dan kanak-kanak tiruan bernilai RM87,979 dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak dalam serbuan di sebuah pusat membeli belah ternama di Jalan Sultan Abdul Jalil, hari ini.

Pengarah KPDNHEP Perak, Saifullizan Kamarul Zaman, berkata operasi yang bermula pada jam 10.30 pagi itu dilakukan berikutan aduan dan risikan yang diterima daripada wakil pemilik cap dagang.

Katanya, ketika serbuan, seorang lelaki iaitu pemilik premis dan seorang pekerja wanita berada di tempat kejadian.

"Pemeriksaan dijalankan pemilik perniagaan dan pengadu ke atas premis perniagaan ini menemui sejumlah kasut wanita dan kasut kanak-kanak perempuan pelbagai corak, saiz dan warna berjenama terkenal yang disyaki menggunakan cap dagangan berdaftar.

"Pengecaman awal daripada wakil pihak pengadu juga mengesahkan bahawa kesemua produk itu adalah tiruan berdasarkan ciri-ciri yang ada pada barangan terbabit," katanya.

Saifullizan berkata, hasil pemeriksaan lanjut menemukan 1,245 unit kasut wanita dan kasut kanak-kanak perempuan pelbagai corak, saiz dan warna yang menggunakan cap dagangan berdaftar berjenama terkenal.

Selain itu, katanya, pihaknya menemukan 800 unit plastik beg menggunakan label bertanda berjenama terkenal disyaki tiruan serta 800 unit pelekat bersama beberapa dokumen perniagaan disita untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, susulan itu, pekerja terbabit dan seorang pemilik perniagaan warga tempatan ditahan bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 untuk siasatan lanjut," katanya.

Berita Harian X