Khamis, 9 Jun 2022 | 8:24pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Tendang ibu, ugut adik guna gunting, lelaki dipenjara 5 bulan

KUALA LUMPUR: Bekas pemandu lori dipenjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan menendang ibu dan mengugut wanita itu serta adik perempuannya menggunakan gunting.

Majistret S Mageswary menjatuhkan hukuman itu ke atas Alif Najmi Abdul Halim, 22, iaitu penjara tiga bulan bagi kesalahan mencederakan ibunya, Suhaila Mohd Jidin, 47, dengan menendang bahagian belakang pinggang kiri wanita itu di sebuah rumah di Bandar Baru Sentul di sini pada jam 8.30 pagi, semalam.

Dia dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara dua kali ganda tempoh maksimum atau denda atau sebat.

Bagi kesalahan kedua, Alif Najmi dihukum penjara lima bulan kerana mengugut ibu dan adiknya, Nur Alia Wardina, 21, menggunakan sebilah gunting sehingga mendatangkan ketakutan kepada mereka.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada tempat, masa dan tarikh sama mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara secara serentak bermula dari tarikh ditangkap semalam.

Timbalan Pendakwa Raya Phulrani Kaur memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran, namun peguam Edwin Tomas dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya mempunyai masalah mental serta menanggung keluarga, selain insaf atas perbuatannya. – BERNAMA

Berita Harian X