Rabu, 8 Jun 2022 | 12:16pm
Penganggur (kiri) berdepan tiga pertuduhan amang seksual terhadap sepupunya di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini.
Penganggur (kiri) berdepan tiga pertuduhan amang seksual terhadap sepupunya di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini.

Pemuda hadapi 3 tuduhan amang seksual sepupu sendiri

JOHOR BAHRU: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual terhadap sepupunya di antara 2015 hingga 2021.

Pemuda berusia 22 tahun bagaimanapun tidak mengaku bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim, Siti Noraida Sulaiman.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa yang pada ketika itu berusia 12 tahun dengan menyentuh badan dengan cara menggeselkan kemaluan tertuduh pada kemaluan mangsa, mencium mulut dan muka mangsa.

Kesemua perbuatan itu dilakukan di antara tahun 2015 hingga 17 Oktober 2021 dalam tandas dan bilik tidur sebuah rumah di Jalan Basong, Taman Datuk Syed Idrus, Gelang Patah.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 14 akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Chan Choon Yew dan Nor Fadilah Johanuddin, manakala tertuduh diwakili peguam bela, R.Subash.

Susulan pengakuan tidak bersalah itu, Choon Yew tidak mencadangkan jaminan kerana kesalahan yang tidak boleh dijamin, namun menawarkan RM20,000 bagi setiap pertuduhan sekiranya mahkamah menetapkan jaminan terhadap bekas pekerja kilang kopi itu.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM15,000 bagi tiga pertuduhan itu, selain perlu melaporkan diri di balai polis terdekat setiap bulan, manakala pasport diserahkan kepada mahkamah serta larangan mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Mahkamah turut menetapkan 7 Julai depan sebagai pengurusan kes untuk penyerahan dokumen.

Berita Harian X