Selasa, 7 Jun 2022 | 4:35pm
Pemuda berusia 24 tahun dibawa ke mahkamah bagi permohonan reman kerana memandu di bawah pengaruh alkohol hingga menyebabkan kemalangan maut
Pemuda berusia 24 tahun dibawa ke mahkamah bagi permohonan reman kerana memandu di bawah pengaruh alkohol hingga menyebabkan kemalangan maut

Pemandu Myvi langgar mati pasangan OKU direman empat hari

MELAKA: Pemandu Perodua Myvi yang disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol dan terbabit dalam kemalangan meragut nyawa pasangan suami isteri orang kurang upaya (OKU) direman empat hari, bermula hari ini bagi membantu siasatan polis.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret, Nabihah Mohd Noor, selepas menerima permohonan daripada polis di Mahkamah Majistret Ayer Keroh.

Lelaki berusia 24 tahun itu yang juga pekerja kilang, direman sehingga Jumaat ini, untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol hingga menyebabkan kematian.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara antara 10 hingga 15 tahun dan denda di antara RM50,000 hingga RM100,000 selain hilang kelayakan lesen memandu selama 10 tahun bagi sabitan pertama.

Terdahulu, lelaki itu yang memakai baju lokap ungu dengan diiringi anggota polis tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah Melaka kira-kira jam 9.50 pagi.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintendan Amran@Mohamad Zaki Omar, berkata semakan pihaknya mendapati pemandu terbabit mempunyai enam kesalahan membabitkan lalu lintas.

"Selain itu kita juga masih menunggu laporan ujian alkohol dari hospital yang dijangka akan diperoleh dalam tempoh tujuh hari," katanya.

Media semalam melaporkan, sepasang suami isteri maut selepas motosikal dinaiki mereka, dirempuh Perodua Myvi yang dipercayai dipandu di bawah pengaruh alkohol di Jalan Serkam Pantai, di sini, semalam.

Kejadian pada 7.45 pagi itu mengakibatkan mangsa Ezuddin Mohammad, 50, dan isteri Surayah Muhamat, 48, yang menaiki motosikal Yamaha Ego maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Amran berkata, kejadian itu membabitkan tiga motosikal dan sebuah kenderaan dipandu pemuda berusia 24 tahun.

Berita Harian X