Sabtu, 4 Jun 2022 | 7:51pm
Seorang wanita maut apabila kepalanya bergesel pada bahagian pengorek belakang sebuah jentolak dalam kemalangan di Kilometer 17 Jalan Kuala Kangsar-Manong di sini, hari ini. - Foto ihsan pembaca
Seorang wanita maut apabila kepalanya bergesel pada bahagian pengorek belakang sebuah jentolak dalam kemalangan di Kilometer 17 Jalan Kuala Kangsar-Manong di sini, hari ini. - Foto ihsan pembaca

Wanita maut kepala bergesel pengorek belakang jentolak

KUALA KANGSAR: Seorang wanita maut selepas kepalanya bergesel pada bahagian pengorek belakang sebuah jentolak ketika membonceng motosikal di Kilometer 17 Jalan Kuala Kangsar-Manong di sini, tengah hari tadi.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari berdekatan Kampung Lempor Hilir itu, Zuriati Laza Nazeri, 39, yang membonceng motosikal ditunggang seorang lelaki meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob, berkata siasatan awal mendapati motosikal jenis Yamaha LC dinaiki mangsa dalam perjalanan dari arah Manong ke Kuala Kangsar di sini.

Beliau berkata, ketika kejadian terdapat sebuah jentolak dikendalikan seorang lelaki berusia 47 tahun pada kedudukan melintang di hadapan laluan motosikal mangsa.

"Ketika cuba memotong jentolak itu, kepala mangsa yang memakai topi keledar bergesel pada bahagian pengorek belakang jentolak terbabit.

"Akibat perlanggaran itu, mangsa terjatuh di atas jalan raya dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, bagaimanapun penunggang motosikal itu tidak mengalami sebarang kecederaan, termasuk pemandu jentolak terbabit.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan saksi kejadian diminta tampil ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan," katanya.

Berita Harian X