Jumaat, 3 Jun 2022 | 8:27pm
Seorang lelaki maut apabila kereta Proton Wira dipandunya gagal dikawal dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah Toyota Vellfire kira-kira jam 1.30 petang di KM26 Jalan Kulai-Kota Tinggi di sini. STR/IHSAN BOMBA
Seorang lelaki maut apabila kereta Proton Wira dipandunya gagal dikawal dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah Toyota Vellfire kira-kira jam 1.30 petang di KM26 Jalan Kulai-Kota Tinggi di sini. STR/IHSAN BOMBA

Maut kereta masuk laluan bertentangan

KOTA TINGGI: Seorang lelaki maut apabila kereta Proton Wira dipandunya gagal dikawal dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah Toyota Vellfire, petang tadi.

Kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu berlaku di Kilometer 26 Jalan Kulai-Kota Tinggi di sini, membabitkan dua kenderaan itu dengan sebuah lagi kereta Mercedez.

Pemandu kereta yang dikenali sebagai Mohd Syaiful Ismail, 38, dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah pada kepala.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora, berkata kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa yang datang dari arah Kota Tinggi menghala ke Kulai gagal mengawal kenderaannya.

"Kereta itu kemudian masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan Toyota Vellfire yang berada di laluan Kulai-Kota Tinggi.

"Toyota Vellfire yang dipandu lelaki berusia 43 tahun kemudian berpusing dan pemandu Mercedez juga 43 tahun yang berada di belakang kenderaan pelbagai guna (MPV) itu tidak sempat mengelak lalu melanggar belakang sebelah kanan Toyota Vellfire," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hussin berkata, akibat kemalangan itu, pemandu Proton Wira yang parah pada kepala, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Bagaimanapun, katanya, pemandu MPV cedera ringan di kaki dan pemandu Mercedez tidak cedera.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta

Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Ibrahim Wahid berkata, sepasukan sembilan anggota balai itu bergegas ke lokasi kemalangan sebaik menerima panggilan kecemasan.

"Dalam kemalangan itu, seorang mangsa tersepit dan disahkan meninggal dunia. Kita bertindak mengeluarkan mangsa tersepit menggunakan peralatan khas dan menyerahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Berita Harian X