Rabu, 1 Jun 2022 | 8:33pm
Peluru yang ditemui di lokasi kejadian membabitkan kereta dipandu seorang lelaki cuba melarikan diri daripada polis sebelum pihak berkuasa terpaksa melepaskan tembakan ke arah tayar kereta dinaiki suspek dipercayai pengedar dadah di Ayer Tawar, Manjung. - NSTP/Ihsan Pembaca
Peluru yang ditemui di lokasi kejadian membabitkan kereta dipandu seorang lelaki cuba melarikan diri daripada polis sebelum pihak berkuasa terpaksa melepaskan tembakan ke arah tayar kereta dinaiki suspek dipercayai pengedar dadah di Ayer Tawar, Manjung. - NSTP/Ihsan Pembaca

Polis lepaskan tembakan pada tayar kereta pengedar dadah

MANJUNG: Polis melepaskan enam das tembakan ke arah tayar kereta dipandu seorang lelaki dipercayai pengedar dadah di Ayer Tawar, di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada jam 4 petang itu, suspek yang memandu kereta bersama isteri dan seorang anak lelakinya cuba melarikan diri, namun dikejar polis sejauh kira-kira 800 meter dari lokasi kejadian sebelum berjaya ditahan.

Lelaki berusia 61 tahun itu ditahan bersama 33 paket dadah syabu seberat 62.5 gram yang ditemui dalam kereta berkenaan.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, berkata ketika kejadian, sepasukan anggota polis dari Balai Ayer Tawar sedang melakukan rondaan cegah jenayah sebelum menahan kereta dinaiki suspek.

Bagaimanapun, katanya, suspek bertindak agresif dengan bertindak melanggar hadapan kenderaan polis sebelum memecut kereta untuk melarikan diri.

Katanya, tindakan suspek itu mengancam pihak berkuasa menyebabkan polis terpaksa melepaskan enam das tembakan ke arah tayar kereta suspek.

"Anggota mengejar kenderaan itu sejauh 800 meter sebelum berjaya menahan suspek. Turut ditahan isteri, 38, dan anak lelaki berusia dua tahun," katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Mior Faridalathrash berkata, kejadian tidak membabitkan sebarang kecederaan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Berita Harian X