Rabu, 1 Jun 2022 | 7:51pm

Pemandu lori didenda RM6,000 ugut anak Datuk

PETALING JAYA: Tindakan seorang pemandu lori mengugut dua wanita termasuk anak seorang 'Datuk' membawa padah apabila dia didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Nurshahira Abdul Salim turut memerintahkan R Thiruselvam, 38, yang mengaku bersalah atas dua pertuduhan, menjalani hukuman penjara lapan bulan jika gagal membayar denda.

Dia didakwa melakukan kedua-dua kesalahan di sebuah kedai makan di Taman Kinrara, Puchong pada 2.30 pagi 10 November 2019 mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Berdasarkan fakta kes, ketika kejadian, mangsa yang keluar membeli makanan dengan kakak sepupunya didatangi seorang lelaki tidak dikenali dan mengugut mahu memotong bapa mangsa yang juga seorang Datuk.

Sejurus menerima ugutan itu, kedua-dua wanita melarikan diri dan terus memasuki kereta.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Farhanah Fuad Mohamad Faiz memohon agar tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran manakala peguam Kailash Sharma merayu agar tertuduh dijatuhi hukuman ringan atas alasan Thiruselvam telah insaf.

"Dia perlu menanggung ibu bapanya dan ibunya baru menjalani pembedahan mata," katanya.– BERNAMA

Berita Harian X