Rabu, 1 Jun 2022 | 7:17pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Penjara 15, 10 tahun sebabkan kematian wanita

MUAR: Seorang bekas pengawal keselamatan dan penganggur dijatuhi hukuman penjara masing-masing 15 tahun dan 10 tahun oleh Mahkamah Tinggi Muar di sini, hari ini kerana menyebabkan kematian seorang wanita empat tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi Muar, Datuk Abu Bakar Katar, menjatuhkan hukuman berkenaan ke atas Mohammad Zahrynnazha Abdullah, 26, dan Mohamad Danish Izzuddin Ab Razak, 22, selepas kedua-duanya mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan yang dibacakan jurubahasa.

Mahkamah memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman berkenaan bermula dari tarikh ditangkap pada 20 Februari 2018.

Mengikut kertas pertuduhan pilihan, Mohammad Zahrynnazha dan Mohamad Danish Izzuddin mencapai niat bersama menyebabkan kematian Tan Chi Ann, 47, di Jalan Sutera 1, Taman Sutera, Yong Peng, Batu Pahat, antara 12.35 tengah malam dan 1.21 pagi, 13 Februari 2018.

Dalam kertas pertuduhan, kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua tertuduh sebelum ini didakwa membunuh Chi Ann mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, Mohammad Zahrynnazha selaku pembonceng motosikal dan tertuduh kedua, Mohamad Danish Izzuddin, yang menunggang motosikal merancang untuk meragut dan berlegar-legar di lokasi kejadian.

Tertuduh kedua didakwa menendang motosikal ditunggang mangsa dan menyebabkan wanita itu terjatuh, sebelum tertuduh pertama mengacukan pisau dan meminta duit daripada Chi Ann.

Apabila mangsa dikatakan enggan memberi duit dan beg, berlaku pergelutan sehingga tertuduh pertama menikam mangsa, menyebabkan wanita itu rebah.

Tertuduh pertama mengambil beg tangan mangsa dan melarikan diri bersama tertuduh kedua.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Azfar Mahmod, manakala peguam Mohd Radzi Yatiman mewakili Mohammad Zahrynnazha dan peguam Rosli Kamaruddin mewakili Mohamad Danish Izzuddin.

Berita Harian X