Rabu, 1 Jun 2022 | 6:18pm

Polis tunggu siasatan pemain bola didakwa rogol remaja

KOTA BHARU: Polis menunggu perkembangan siasatan berkaitan seorang pemain bola sepak liga tanah air yang didakwa merogol remaja perempuan.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata suspek berusia 28 tahun itu direman empat hari sehingga esok.

Beliau berkata, pihaknya belum membuat keputusan sama ada reman perlu disambung atau tidak.

"Siasatan berdasarkan apa yang kita ada, kalau tak perlu sambung, tak perlulah kerana kes hanya membabitkan mangsa dengan pelaku.

"Bagaimanapun, kita akan rujuk perkembangan terkini dan buat keputusan esok sama ada perlu disambung (reman) atau tidak," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini, hari ini.

Laporan sebelum ini menyebut, suspek didakwa merogol remaja berusia 18 tahun di bilik sebuah rumah di Kampung Kijang, Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB), di sini, tengah hari Ahad lalu.

Dalam perkembangan lain, Muhamad Zaki berkata, polis merampas 200 biji pil ekstasi dianggar bernilai RM3,000 di Kampung Tal Tujoh, Pasir Mas, dekat sini.

Katanya, rampasan dibuat oleh Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA8) pada jam 2.30 petang semalam di sebuah tanah perkuburan dan seorang lelaki berusia 25 tahun ditahan.

Beliau berkata, pemeriksaan menemui satu plastik lutsinar mengandungi sejumlah pil ekstasi berwarna hijau dalam genggaman kiri suspek.

"Kita percaya pil itu untuk dibawa ke negara jiran memandangkan sempadan sudah dibuka dan dadah itu biasanya digunakan untuk berhibur.

"Ujian saringan mendapati suspek negatif dadah dan dia tidak memiliki rekod lampau.

"Suspek direman tujuh hari bermula hari ini sehingga 7 Jun manakala kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun. - NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun. - NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR
Berita Harian X