Selasa, 31 Mei 2022 | 9:02pm
Ibu kepada Imam Masjid Ar Raudhah, Tanjong Karang, Latifah Ahmad (kanan) bersama anak lelakinya, Mohd Zidni Ilman Othman (kiri) menunjukkan gambar kenangan Allahyarham Mohd Irfan ketika ditemui di rumah mereka di Batu 3/4, Jalan Kilang Padi, hari ini. - Foto NSTP/AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN
Ibu kepada Imam Masjid Ar Raudhah, Tanjong Karang, Latifah Ahmad (kanan) bersama anak lelakinya, Mohd Zidni Ilman Othman (kiri) menunjukkan gambar kenangan Allahyarham Mohd Irfan ketika ditemui di rumah mereka di Batu 3/4, Jalan Kilang Padi, hari ini. - Foto NSTP/AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN

Imam Masjid Ar Raudhah 'dekat' dengan Al-Quran

TANJONG KARANG: Imam Masjid Ar Raudhah yang maut dalam nahas di Kilometer 64 Jalan Teluk Intan-Klang (hala ke Klang), dekat Sekinchan, semalam, menghafaz Al-Quran sejak berumur 20 tahun.

Perkara itu diakui oleh ibunya, Latifah Ahmad, 63, yang sering melihat Mohd Irfan Othman, 32, menghabiskan masa mengaji dan menghafaz kitab suci itu.

Latifah berkata, Mohd Irfan sememangnya tidak pernah lekang dengan Al-Quran sejak kecil.

"Alhamdulillah, syukur arwah menghafal bacaan 30 juzuk al-Quran. Dia juga menamatkan pengajian tahfiz di Darul Quran dan seterusnya menyambung pengajian peringkat ijazah di Mesir," katanya ketika ditemui di rumahnya di Batu 3/4, Jalan Kilang Padi, di sini, hari ini.

Gambar kenangan Allahyarham Mohd Irfan (dalam bulatan) ketika ditemui di rumah mereka di Batu 3/4, Jalan Kilang Padi, hari ini. - Foto NSTP/AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN
Gambar kenangan Allahyarham Mohd Irfan (dalam bulatan) ketika ditemui di rumah mereka di Batu 3/4, Jalan Kilang Padi, hari ini. - Foto NSTP/AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN

Latifah berkata, dia juga bersyukur proses pengurusan jenazah anak kelima dari enam beradik itu berjalan lancar dari awal hingga akhir.

"Mohd Irfan anak yang baik dan mempunyai ramai kenalan. Saya terkejut terlalu ramai yang hadir untuk solat jenazah dan majlis pengkebumian arwah.

"Arwah baru melangsungkan perkahwinan pada Disember lalu. Dia biasanya bergilir-gilir tidur di rumah saya dan ibu mentuanya.

"Sebagai ibu, kehilangannya cukup dirasai namun saya reda kerana Allah SWT lebih menyayanginya," katanya.

Sementara itu, abang Mohd Irfan, Mohd Zidni Ilman Othman, 47, berkata dia mendapat panggilan berhubung kemalangan menimpa adiknya pada jam 5 petang semalam.

"Luluh hati sebaik mendapat tahu arwah sudah meninggal dunia. Saya sedih kerana dia seorang yang baik hati dan selalu mengambil berat hal keluarga, terutama ibu dan ayah.

"Kali terakhir saya berjumpa arwah pada Khamis lalu sewaktu saya sekeluarga pulang ke kampung," katanya.

Jenazah Mohd Irfan selamat dikebumikan di Tanah perkuburan Islam Masjid Baroh, di sini, pada 10 malam semalam.

Media sebelum ini melaporkan, perjalanan pulang seorang imam masjid yang selesai mengajar pusat tahfiz ke rumahnya berakhir tragedi apabila motosikal ditunggang merempuh belakang sebuah treler.

Dalam kejadian jam 4.15 petang, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha LC 135 maut di tempat kejadian akibat parah pada kepala.

Berita Harian X