Selasa, 31 Mei 2022 | 12:44pm
Tertuduh, T Vengadasalabathi, 37, (kiri) didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas tiga pertuduhan selepas didapati membenarkan tiga anaknya mengeluarkan separuh badan dari kenderaan yang sedang bergerak. - Foto NSTP/L Manimaran
Tertuduh, T Vengadasalabathi, 37, (kiri) didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas tiga pertuduhan selepas didapati membenarkan tiga anaknya mengeluarkan separuh badan dari kenderaan yang sedang bergerak. - Foto NSTP/L Manimaran

Bapa budak buat aksi bahaya kena dakwa

IPOH: Seorang pemandu yang videonya tular apabila membenarkan tiga anaknya mengeluarkan separuh badan dari kenderaan yang sedang bergerak didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini.

Tertuduh, T Vengadasalabathi, 37, mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa sebagai seorang yang mempunyai penjagaan ke atas tiga kanak-kanak berusia empat hingga lapan tahun, telah mendedahkan mereka dengan cara yang mungkin menyebabkan mengalami kecederaan fizikal.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Tambun antara jam 6.20 hingga 6.45 petang, 22 Mac 2022.

Oleh yang demikian, tertuduh didakwa dengan tiga pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta sama.

Ia memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Evangelin Simon Silvaraj manakala tertuduh diwakili peguam K Nathan.

Evangelin menawarkan jaminan RM15,000 bagi setiap pertuduhan serta larangan mendekati mangsa.

Bagaimanapun, Nanthan memohon jaminan sebanyak RM7,500 bagi semua pertuduhan atas alasan tertuduh yang bekerja sebagai ejen insurans berpendapatan hanya RM2,000 selain perlu menanggung ketiga-tiga anak serta isteri serta tinggal bersama ibu bapa yang berusia 67 dan 72 tahun.

Nathan turut merayu atas larangan tertuduh mendekati ketiga-tiga anak itu kerana ia bukan membabitkan kes dera dan jenayah seksual selain menegaskan tertuduh adalah bapa kandung mereka.

Mahkamah kemudian membenarkan ikat jamin RM9,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 1 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Pada 24 Mac lalu, polis menahan bapa kepada tiga kanak-kanak yang melakukan aksi berbahaya dengan mengeluarkan separuh badan dari dalam kereta yang sedang bergerak di Tambun di sini.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid dilaporkan berkata, lelaki berusia 37 tahun itu ditahan di Sunway City di sini, pada 9.30 malam.

Berita Harian X