KUALA LUMPUR: Seorang lelaki mengamuk sambil mengacukan pisau pemotong sayur selepas ditegur oleh seorang rakannya supaya berhenti mencuri wang ibunya sendiri, tengah malam tadi.
Kejadian berlaku di sebuah gerai makan di Jalan Pandan Indah 4/2 Pandan Indah di sini, kira-kira jam 12.30 tengah malam, ketika mangsa bertemu suspek di situ.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata berita mengenai kejadian itu kemudiannya ke pengetahuan polis dan suspek berusia 32 tahun ditahan di Jalan Pandan Indah 4/5 Pandan Indah, kira-kira jam 1 pagi tadi.
Beliau berkata, polis turut merampas pisau yang digunakan oleh suspek dalam kejadian berkenaan.
"Siasatan mendapati, kejadian berpunca apabila mangsa, seorang jurujual komputer berusia 36 tahun menegur dan menasihati suspek supaya jangan mencuri wang ibunya.
"Suspek yang juga penganggur dipercayai berang dan meminta rakannya untuk tidak mencampuri urusannya sebelum mengamuk dan mengacukan pisau pemotong sayur ke arah rakannya itu," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamad Farouk berkata, semakan mendapati suspek mempunyai lapan rekod lalu berkaitan dadah dan jenayah.
"Suspek yang turut positif methamphetamine direman empat hari untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu ugutan jenayah yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali," katanya.