Isnin, 30 Mei 2022 | 12:56pm

Warga Ukraine antara empat lelaki ditahan edar syabu RM1.4 juta

KAJANG: Satu sindiket pengedaran dadah yang aktif mengedar syabu di sekitar Lembah Klang, tumpas susulan tangkapan empat lelaki termasuk seorang warga Ukraine di kawasan letak kereta dekat Batu 11, Cheras di sini, pada 24 Mei lalu.

Suspek berusia di antara 30 hingga 44 tahun itu ditahan dalam serbuan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Selangor, kira-kira jam 6 petang.

Dalam serbuan itu, polis merampas 39.9 kilogram (kg) dadah yang disimpan dalam satu kotak coklat terdiri daripada 11 bungkusan teh cina mengandungi bahan disyaki methamphetamine (syabu) seberat 10.7 kilogram (kg).

Selain itu, tiga bungkusan teh cina mengandungi 55 peket plastik lut sinar mengandungi bahan disyaki syabu seberat 2.8kg serta 25 bungkusan plastik juga disyaki mengandungi dadah jenis itu seberat 25.4kg.

Ketua JSJN Selangor, Asisten Komisioner Ahmad Jefferi Abdullah, berkata ketika serbuan, suspek warga Ukraine sedang mengangkat kotak coklat berisi kesemua dadah dianggarkan bernilai RM1.4 juta itu dari sebuah kereta jenis PERODUA Bezza bersama tiga suspek lain.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati dadah itu dipercayai diseludup dari negara jiran dan siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenal pasti cara ia dibawa ke Selangor.

"Siasatan mendapati sindiket ini aktif menjalankan kegiatan mengedar dadah jenis methamphatime di sekitar Lembah Klang sejak enam bulan lalu. Kita sedang mengenal pasti modus operandi mereka.

"Semakan mendapati lelaki Ukraine berusia 44 tahun itu sudah dua kali masuk ke negara ini dengan kali pertama pada April lalu dan kali kedua pada 10 Mei lalu dengan sejarah perjalanan mendapati suspek pernah ke Thailand sebelum ini," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, hari ini.

Dalam serbuan itu juga, Ahmad Jefferi berkata, polis merampas tiga kereta terdiri sebuah Mercedes Benz, Toyota Vios dan PERODUA Bezza, wang tunai RM20,380, matawang Baht 35,000 (RM4,503), 11 pelbagai barang kemas dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM389,083.

"Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati seoran suspek positif dadah jenis THC dan seorang lagi positif amphetamine, methamphetamine serta THC, manakala dua lagi suspek didapati negatif.

"Kesemua suspek kini direman selama tujuh hari mengikut Seskyen 117 Kanun Acara Jenayah mulai 25 Mei hingga 31 Mei untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 15 sebatan," katanya.

Katanya, siasatan masih dijalankan bagi mengesan saki baki anggota dan rangkaian sindiket ini serta dalang utama.

Menurutnya, keseluruhan dadah seberat 38.990kg ini dianggarkan boleh dibekalkan kepada 194,000 pengguna dalam masa sehari dengan mengambil kira pengedaran 0.2 gram.

- Foto hiasan
- Foto hiasan
Berita Harian X