Sabtu, 28 Mei 2022 | 8:21pm
Antara dadah yang dirampas dalam serbuan di sebuah bengkel kereta dan motosikal di Bukit Rotan, kelmarin hingga membawa kepada penahanan seorang banduan yang melarikan diri dari Penjara Jelebu pada 10 April lalu. NSTP/IHSAN POLIS
Antara dadah yang dirampas dalam serbuan di sebuah bengkel kereta dan motosikal di Bukit Rotan, kelmarin hingga membawa kepada penahanan seorang banduan yang melarikan diri dari Penjara Jelebu pada 10 April lalu. NSTP/IHSAN POLIS

Polis tahan banduan terakhir lolos Penjara Jelebu

KUALA SELANGOR: Selepas hampir sebulan diburu, seorang banduan yang melarikan diri dari Penjara Jelebu, Negeri Sembilan pada 10 April lalu akhirnya ditahan polis di daerah ini, kelmarin.

Muhammad Syafiq Rohmat, 32, ditahan pada jam 5.30 pagi oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Kuala Selangor.

Banduan itu ditahan bersama dua lelaki kedua-dua berusia 23 tahun di sebuah bengkel kereta dan motosikal di Bukit Rotan, di sini.

Difahamkan, Muhammad Syafiq adalah banduan terakhir ditahan selepas dipercayai terlebih dahulu melarikan diri dari Negeri Sembilan.

Sementara enam banduan lain berusia 28 hingga 62 tahun berjaya ditahan di lokasi dan tarikh berbeza di sekitar Negeri Sembilan.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa, berkata pemeriksaan ke atas beg silang milik suspek berusia 23 tahun menemui lapan paket plastik lut sinar berisi heroin dan dua paket syabu.

"Heroin seberat 455.60 gram bernilai RM15,000 manakala syabu seberat 24.00 gram pula bernilai RM2,400.

"Semakan mendapati banduan terbabit dalam penagihan dadah syabu dan heroin sejak 13 tahun lalu.

"Suspek kedua terbabit dalam pengedaran dadah sejak dua tahun lalu, manakala suspek ketiga juga terbabit penagihan dadah sejak 15 tahun lalu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ramli berkata, banduan itu turut memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

"Dia juga mempunyai rekod dikehendaki iaitu mengikut Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan (KK).

"Banduan itu kemudian diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jelebu untuk tindakan lanjut," katanya.

Media sebelum ini melaporkan tujuh banduan yang menjalani tahanan reman di Penjara Jelebu melarikan diri pada 10 April lalu.

Selain Muhammad Syafiq, enam lagi banduan itu adalah Sohaimi Khalid, 50; Mazlan Samah, 39; Mohamad Aminuddin Khan Mohd Yusof, 28; Shazuan Md Sharif, 32; Mohd Zairizan Zainal, 42, dan seorang warga asing, Zainuddin, 62.

Berita Harian X