Sabtu, 28 Mei 2022 | 4:39pm
Istana Kehakiman
Istana Kehakiman

Majlis Peguam kutuk campur tangan ke atas Badan Kehakiman

KUALA LUMPUR: Majlis Peguam mengutuk sekeras-kerasnya sebarang campur tangan ke atas kebebasan Badan Kehakiman dan pelanggaran prinsip asas pengasingan kuasa yang menjadi satu daripada kata putus pihak berkenaan.

Ini susulan tujuh resolusi yang diluluskan pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) atau AGM (Mesyuarat Agung Tahunan) yang akan diserahkan kepada pihak berkuasa.

Presidennya, Karen Cheah Yee Lynn, berkata Majlis Peguam mahu Peguam Negara mempertimbangkan bahawa beliau pun ada peranan dalam menegakkan kebebasan kehakiman di negara ini.

"Dalam kes ini, salinan resolusi akan dihantar kepada Peguam Negara. Selalunya salinan resolusi akan dihantar mengikut senarai ditetapkan bergantung kepada jenis resolusi," katanya dalam kenyataan.

Seramai 623 ahli mendaftar untuk hadir dalam EGM yang diadakan semalam, sekali gus melebihi kuorum 500 orang sebagai syarat yang ditetapkan untuk melangsungkan mesyuarat berkenaan.

Ia turut dihadiri peguam dari Sabah Law Society dan Advocate Association of Sarawak sebagai pemerhati. Mereka juga senada dengan resolusi yang diluluskan.

Yee Lynn berkata, antara dua perkara lain yang terkandung dalam resolusi diluluskan itu adalah Majlis Peguam mengutuk sekeras-kerasnya tindakan yang tidak pernah berlaku sebelum ini, yang mana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan secara terbuka siasatan jenayah terhadap hakim mahkamah atasan.

"Ia termasuk tindakan mendedahkan nama hakim itu kepada orang awam dalam tempoh yang tidak jelas dan tanpa pendedahan yang betul, yang sama dengan tindakan ugutan terhadap Badan Kehakiman," katanya.

Dakwaan serangan ke atas Badan Kehakiman adalah berkaitan siasatan SPRM terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Ghazali.

Nazlan adalah hakim yang mengenakan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Datuk Seri Najib Razak selepas mendapati bekas Perdana Menteri itu bersalah terhadap penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.

Dalam kenyataan pada 21 April lalu, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan berkata, artikel ditulis penulis blog, Raja Petra Kamarudin bertajuk 'Judge Mohd Nazlan being investigated for unexplained RM1 million in his bank account' yang disiarkan di sebuah portal, adalah palsu dan tidak berasas.

Berita Harian X