Sabtu, 28 Mei 2022 | 4:29pm
Seorang wanita cedera parah selepas tercampak dari tempat duduk belakang sebuah kereta dalam kemalangan berdekatan Setia City Mall, Shah Alam. - Foto ihsan JBPM Selangor
Seorang wanita cedera parah selepas tercampak dari tempat duduk belakang sebuah kereta dalam kemalangan berdekatan Setia City Mall, Shah Alam. - Foto ihsan JBPM Selangor

Wanita parah tercampak keluar dari kereta terbabas

SHAH ALAM: Seorang wanita parah selepas tercampak dari tempat duduk belakang sebuah kereta dalam kemalangan di Kilometer 3.7, Jalan Setia Alam menghala ke Setia City Mall, dekat sini, hari ini.

Difahamkan, wanita berusia 27 tahun itu tercampak selepas kereta yang turut dinaiki tiga individu lain itu terbabas dan melanggar penghadang jalan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, berkata ketika kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, pemandu dan dua lagi penumpang kenderaan hanya cedera ringan.

Katanya, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Anggerik bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada jam 11.15 pagi.

"Kemalangan membabitkan sebuah kereta dipandu seorang wanita berumur 24 tahun bersama tiga penumpang iaitu seorang lelaki dan dua wanita yang masing-masing berusia 22 dan 27 tahun.

Seorang wanita parah selepas tercampak dari tempat duduk belakang sebuah kereta dalam kemalangan berdekatan Setia City Mall, Shah Alam, pagi tadi. NSTP/Ihsan JBPM Selangor
Seorang wanita parah selepas tercampak dari tempat duduk belakang sebuah kereta dalam kemalangan berdekatan Setia City Mall, Shah Alam, pagi tadi. NSTP/Ihsan JBPM Selangor

"Difahamkan, kenderaan dinaiki empat rakan itu hilang kawalan dan terbabas lalu melanggar penghadang jalan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, tiga mangsa yang cedera ringan berjaya keluar sendiri dari kereta manakala mangsa yang tercampak ditemui dalam keadaan separuh sedar.

Katanya, kesemua mangsa kemudian diberikan rawatan awal oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian sebelum dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk rawatan lanjut.

Berita Harian X