Jumaat, 27 Mei 2022 | 7:53pm
Anggota bomba dibantu kakitangan DBKK dan orang awam mengalihkan dahan pokok tumbang di Jalan Tuaran, Likas di Kota Kinabalu. - Foto ihsan Bomba
Anggota bomba dibantu kakitangan DBKK dan orang awam mengalihkan dahan pokok tumbang di Jalan Tuaran, Likas di Kota Kinabalu. - Foto ihsan Bomba

Dahan pokok tumbang hempap 3 kereta

KOTA KINABALU: Tiga pemandu berdepan detik cemas apabila kereta masing-masing dihempap dahan pokok yang tumbang ketika angin kencang dan hujan lebat melanda petang tadi.

Kejadian berlaku kira-kira jam 5.50 petang di Jalan Tuaran di Likas, di sini, namun ketiga-tiga mereka tidak mengalami kecederaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, sepasukan tujuh anggota dan pegawai bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu dikerahkan ke lokasi.

Pasukan bomba, DBKK dan orang awam mengalihkan dahan pokok tumbang di Jalan Tuaran, Likas Kota Kinabalu.
Pasukan bomba, DBKK dan orang awam mengalihkan dahan pokok tumbang di Jalan Tuaran, Likas Kota Kinabalu.

"Sebaik tiba, dahan pokok tumbang didapati menghalang laluan jalan raya dan menghempap tiga kenderaan iaitu jenis Perodua Myvi, Perodua Bezza dan van Nissan Urban.

"Anggota kemudian memotong dan mengalihkan dahan pokok tumbang menggunakan peralatan khas," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Katanya, tiada mangsa dilaporkan cedera dan operasi tamat jam 6.22 petang tadi.

Operasi mengalihkan dahan pokok tumbang turut dibantu kakitangan Landskap Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan orang awam.

Berita Harian X