Jumaat, 27 Mei 2022 | 12:40pm

Pengasuh taska nafi cakar pipi, pukul bayi 11 bulan

MELAKA: Melaka: Seorang pengasuh Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini atas tuduhan menganiaya seorang bayi perempuan berusia 11 bulan dengan mencakar pipi dan memukul tubuh mangsa, minggu lalu.

Nabilah Md Johan, 27, dari Kampung Tedong, Merlimau, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan iaitu guru atau pengasuh didakwa menganiaya dengan mencakar pipi sebelah kiri dan memukul badan mangsa dengan tangan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di TASKA Ummi Ana di Taman Seri Telok Emas, kira-kira jam 5.30 hingga 5.45 petang pada 18 Mei lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya N Sivashangari menawarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tidak boleh mengganggu mangsa.

Bagaimanapun, peguam bela tertuduh, Ab Kadir Ismail memohon jumlah jaminan yang munasabah diberikan dengan alasan penjamin adalah ibu tertuduh sendiri.

Mahkamah menetapkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin serta syarat tertuduh tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga perbicaraan selesai.

Tarikh sebutan semula kes ditetapkan 23 Jun depan untuk mendapatkan laporan perubatan mangsa dan serahan dokumen.

Nabilah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas tuduhan menganiaya seorang bayi perempuan berusia 11 bulan dengan cara mencakar pipi dan memukul tubuh mangsa di sebuah TASKA minggu lalu. - Foto NSTP/ Meor Riduwan Meor Ahmad
Nabilah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas tuduhan menganiaya seorang bayi perempuan berusia 11 bulan dengan cara mencakar pipi dan memukul tubuh mangsa di sebuah TASKA minggu lalu. - Foto NSTP/ Meor Riduwan Meor Ahmad
Berita Harian X