Rabu, 25 Mei 2022 | 9:56pm
Gambar hiasan.
Gambar hiasan.

Kanak-kanak Orang Asli terjatuh sungai ditemukan lemas

GUA MUSANG: Seorang kanak-kanak perempuan Orang Asli berusia tiga tahun yang dilaporkan terjatuh ke dalam sungai semalam, ditemukan lemas di Sungai Brooke di Kampung Jias, di sini, petang tadi.

Mayat mangsa yang dikenali sebagai Simon ditemui penduduk kampung ketika sedang menjala ikan di kawasan terbabit jam 3.50 petang.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo, berkata mayat ditemui terapung kira-kira 10 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh.

"Mangsa yang memakai baju merah dan tidak berseluar dijumpai tersangkut pada kayu di tepi tebing Sungai Brooke.

"Mayat kanak-kanak itu dibawa naik ke darat dengan bantuan anggota bomba dan penyelamat sebelum dihantar ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, nenek mangsa, Likan Ayob, 50, meluahkan rasa lega akhirnya jasad cucunya dijumpai walaupun sudah tidak bernyawa.

Dalam kejadian jam 11 pagi semalam, mangsa dikatakan keluar dari rumah bermain dengan dua rakannya sebelum dilaporkan terjatuh ke sungai berkenaan.

Berita Harian X