SEKINCHAN: Kira-kira 100 rumah penduduk di sekitar kawasan ini terjejas akibat banjir kilat susulan hujan lebat dan fenomena air pasang besar, hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 1.45 petang.
Bagaimanapun, beliau berkata, tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka kerana keadaan terkawal.
"Sepasukan enam anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sekinchan dikerahkan ke tempat kejadian.
"Hasil pemeriksaan mendapati kawasan yang terbabit banjir ialah Kampung Penerangan, pekan Sekinchan dan Jalan Aman Jaya 2 yang dinaiki air setinggi 0.5 meter.
"Selain rumah penduduk, beberapa jalan utama turut dilanda banjir namun keadaan masih terkawal dan tiada pemindahan mangsa setakat petang ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Norazam berkata, banjir kilat yang berlaku disebabkan pertembungan fenomena air pasang besar dan hujan lebat.
"Kita sentiasa bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan berlaku banjir lebih teruk di kawasan berkenaan," katanya.
Sementara itu, di daerah Kuala Selangor pula, seramai tujuh keluarga di Kampung Sri Aman, Ijok terpaksa keluar dari rumah masing-masing akibat banjir kilat susulan hujan lebat berterusan selama beberapa jam.
Norazam berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.35 petang sebelum sepasukan enam anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya dikerahkan ke tempat kejadian.
"Hasil pemantauan mendapati tujuh keluarga berusia lingkungan 20-an hingga 40-an keluar ke jalan susulan rumah mereka dinaiki air.
"Didapati juga air naik setinggi 0.6 meter di kawasan kejadian," katanya.