Rabu, 25 Mei 2022 | 2:10pm
Pasangan suami isteri didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh terhadap tuduhan membunuh anak saudara perempuan berusia lapan tahun, pada 14 Mei lalu. - Foto L MANIMARAN
Pasangan suami isteri didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh terhadap tuduhan membunuh anak saudara perempuan berusia lapan tahun, pada 14 Mei lalu. - Foto L MANIMARAN

Pasangan suami isteri didakwa dera, bunuh anak saudara

IPOH: Pasangan suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh, hari ini, terhadap tuduhan membunuh anak saudara perempuan berusia lapan tahun, pada 14 Mei lalu.

Tiada pengakuan direkodkan dan kedua-dua tertuduh, Zainuddin Noh, 40, dan isteri, Norhazleyana Azreen Abdul Hamid, 40, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret, Jesseca Daimis.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh secara bersama-sama menyebabkan kematian terhadap seorang kanak-kanak perempuan, berusia lapan tahun.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di rumah beralamat No. 21, Jalan Desa Pangkalan, Bandaraya 18, Desa Pangkalan pada kira-kira jam 10 malam 13 Mei hingga kira-kira jam 7 pagi, 14 Mei.

Oleh demikian, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman mati.

Kes dikendalikan Timbalan Pengarah Pendakwaan negeri, Azlina Rasdi manakala tertuduh ibu saudara diwakili peguam, Mohd Hisham Mohd Nazir.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes terhadap tertuduh pada 30 Jun ini sebagai tarikh sebutan kes.

Sementara itu, kedua-dua tertuduh yang juga peniaga kecil mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan melakukan penganiayaan hingga menyebabkan kecederaan fizikal terhadap adik si mati.

Tertuduh membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Norashima Khalid.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan penganiayaan terhadap kanak-kanak berusia tujuh tahun yang juga adik kepada simati dengan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal di alamat yang sama pada jam 1.30 petang dan 10.30 malam 13 Mei lalu.

Oleh yang demikian, tertuduh didakwa melakukan satu kesalahan mengikut Seksyen 31(1)a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 31(1) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Atas kesalahan itu, ia memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara hingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, media melaporkan, suami isteri ditahan susulan kematian kanak-kanak itu yang juga anak saudara mereka disyaki didera.

Penahanan suspek dibuat susulan laporan polis dibuat pegawai perubatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, pada jam 3.14 pagi.

Berdasarkan laporan, seorang kanak-kanak perempuan dibawa ke hospital oleh ambulans, namun disahkan meninggal dunia pada jam 1.45 pagi.

Selain itu, siasatan polis juga mendapati suami isteri yang ditahan susulan kematian anak saudara mereka turut mendera adik lelaki mangsa.

Berita Harian X