Selasa, 24 Mei 2022 | 2:18pm

Enam kontraktor didenda kerana palsukan penyata bank

ALOR SETAR: Enam kontraktor masing-masing didenda RM50,000 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memalsukan penyata akaun bank syarikat bagi melayakkan mereka mendapatkan tender pembersihan awam pada 2019.

Hakim Mahkamah Sesyen, Harmi Thamri Mohamad, membuat keputusan itu selepas tertuduh, Zulhilmi Abdul Jabar,43; Mohd Yusrizal Ismail, 43; Muhamad Hairi Md Ismail, 38; Ranzi Halim, 51; Muhammad Amir Che Azib, 36, dan Badaruddin Mohamad, 40, mengaku bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan kepada mereka secara berasingan.

Berikutan pengakuan bersalah itu, mereka dijatuhkan hukuman denda RM50,000 setiap seorang atau penjara enam bulan sekiranya gagal membayarnya.

Berdasarkan pertuduhan, kesemua mereka didakwa secara curang menggunakan penyata palsu akaun bank syarikat masing-masing bagi bulan Oktober, November dan Disember 2018 dalam permohonan tender projek Penswastaan Pengumpulan Sisa Pepejal dan Pengurusan Pembersihan Awam Wilayah Utara.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Wisma Idaman, Environment Idaman (Kedah & Perlis) di antara 1 hingga 22 Januari 2019.

Berikutan itu, mereka didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rehab Abdul Shukur, manakala Zulhilmi, Mohd Yusrizal dan Muhammad Amir diwakili peguam bela, Intan Nursyafina Baharudin.

Peguam bela, Syed Fakhruzzaman Syed Mansor, pula mewakili Muhamad Hairi, Ranzi dan Badaruddin, ketika prosiding.

Kesemua tertuduh membayar denda yang dikenakan.

Enam kontraktor didenda RM50,000 selepas mengaku bersalah memalsukan penyata bank, dibawa keluar pegawai SPRM dari Mahkamah Sesyen di sini selepas prosiding pagi tadi.
Enam kontraktor didenda RM50,000 selepas mengaku bersalah memalsukan penyata bank, dibawa keluar pegawai SPRM dari Mahkamah Sesyen di sini selepas prosiding pagi tadi.
Berita Harian X