Isnin, 23 Mei 2022 | 10:48pm
Dadah jenis ganja seberat 1.2 kg dirampas polis menerusi tangkapan lima lelaki warga asing, di ibu negara dan Petaling Jaya, semalam. - Foto ihsan PDRM
Dadah jenis ganja seberat 1.2 kg dirampas polis menerusi tangkapan lima lelaki warga asing, di ibu negara dan Petaling Jaya, semalam. - Foto ihsan PDRM

Lima warga asing ditahan edar ganja

KUALA LUMPUR: Lima lelaki warga asing ditahan bersama lebih sekilogram ganja yang tidak sempat diedarkan dalam dua tangkapan berasingan di Brickfields dan Petaling Jaya dekat sini, semalam.

Tangkapan pertama membabitkan dua suspek berusia 21 dan 23 tahun di kawasan tempat letak kenderaan sebuah kondominium di Sri Hartamas, Brickfields, kira-kira jam 6.15 petang.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor, berkata pemeriksaan menemui satu beg berisi ketulan mampat dadah jenis ganja seberat 1.004 kilogram (kg) dalam kereta jenis Toyota Yaris yang dinaiki dua suspek terbabit.

"Hasil siasatan lanjut, polis menyerbu sebuah kondominium di Petaling Jaya dan menahan tiga lagi lelaki warga asing, berusia lingkungan 21 hingga 30 tahun, kira-kira jam 8.30 malam.

"Hasil pemeriksaan di kondominium itu, kita menemui 10 ketulan mampat daun kering dadah jenis ganja dan satu peket lutsinar mengandungi ceraian daun kering dadah jenis sama dengan berat keseluruhan 205 gram," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan dadah dirampas seberat 1.2 kg dianggarkan bernilai RM3,250 dan jika diedarkan, ia boleh disalah gunakan kira-kira 2,400 pengguna dadah.

"Hasil keputusan ujian saringan awal air kencing mendapati tiga daripada lima suspek positif dadah jenis ganja (THC).

"Tiga suspek direman tujuh hari manakala dua lagi suspek direman enam hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman gantung sampai mati," katanya.

Amihizam berkata, siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti dan mengesan baki ahli sindiket ini serta sumber bekalan dadah diperoleh.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan rampasan dadah ini diminta menyalurkan maklumat di talian 03-22979222 sambungan 553 bagi membantu siasatan.

Berita Harian X