Ahad, 22 Mei 2022 | 8:08am
Tukang masak maut dalam kemalangan di Kilometer 65.6 Jalan Klang-Teluk Intan semalam. - Foto NSTP/Ihsan Polis
Tukang masak maut dalam kemalangan di Kilometer 65.6 Jalan Klang-Teluk Intan semalam. - Foto NSTP/Ihsan Polis

Tukang masak maut nahas empat kenderaan

TANJONG KARANG: Seorang tukang masak maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 65.6 Jalan Klang-Teluk Intan, di sini, semalam.

Dalam kejadian 12.50 tengah hari itu, lelaki berusia 46 tahun yang menunggang motosikal Yamaha Lagenda 110 ZR maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa, berkata, tiga kenderaan lain yang terbabit ialah kenderaan utiliti sukan (SUV) Mazda CX5, kenderaan pelbagai guna (MPV) Hyundai Starex dan kereta Perodua Myvi.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati Mazda CX5 dipandu seorang lelaki berusia 25 tahun yang memandu di lorong kiri (dari arah Teluk Intan ke Klang) dipercayai masuk ke simpang kiri dan telah dilanggar dari belakang oleh motosikal terbabit.

"Mangsa kemudian tercampak dan jatuh di lorong kanan. Pada masa sama, pemandu Hyundai Starex berusia 72 tahun yang berada di laluan sama cuba mengelak mangsa lalu melanggar dan mengheret motosikalnya di atas jalan," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Ramli berkata, kereta Perodua Myvi dipandu seorang wanita berusia 31 tahun yang mengikut belakang Hyundai Starex tidak sempat mengelak mangsa yang berguling ke laluannya lalu melanggar mangsa.

Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Berita Harian X