Sabtu, 21 Mei 2022 | 12:10am

Bukit Aman siasat ciapan Kit Siang didakwa gugat ketenteraman

KUALA LUMPUR: Satu siasatan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman terhadap satu ciapan dimuatnaik Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang yang didakwa mengandungi kenyataan boleh menggugat ketenteraman awam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, berkata imej tangkap layar ciapan terbabit turut tular melalui aplikasi WhatsApp sejak ia dimuat naik kelmarin.

Katanya, siasatan kini dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5), JSJ Bukit Aman mengikut Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan.

"Ia kerana mengeluarkan kenyataan dengan niat mengapi-apikan mana-mana golongan atau kaum.

"Siasatan juga dilakukan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Abd Jalil berkata, orang ramai dinasihati untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.

"Malah orang ramai dinasihati agar menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah dan tidak menggunakan plaform itu untuk menyebarkan maklumat yang boleh mendatangkam kegentaran awam serta menggugat keharmonian negara.

"Polis akan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi kepada mana-mana individu yang sengaja menggugat ketenteraman dan keselamatan awam," katanya.

Ciapan berkenaan mengandungi kenyataan 'Will The Houses Of The Prime Minister and Ministers of Malaysia Be Set On Fire by Angry Protestors As Happened in Sri Lanka Last Week (Adakah rumah perdana menteri dan menteri-menteri Malaysia akan dibakar oleh penunjuk perasaan seperti berlaku di Sri Lanka, minggu lalu).

Sri Lanka semakin terjerumus sepenuhnya ke dalam krisis politik dan ekonomi ketika semakin ramai penduduknya yang kelaparan, kematian dan gangguan yang teruk, selain kini bakal berdepan keganasan.

Negara itu sedang berdepan krisis ekonomi terburuk sejak merdeka dan tindak balas kerajaan Sri Lanka menunjukkan mereka tidak mampu melindungi rakyatnya. Kemarahan dan kekecewaan penduduk disemarakkan oleh penunjuk perasaan prokerajaan.

Berita Harian X